Thursday 18 April 2013

Strategi '5 lawan 1' BN Gunakan Untuk Gempur Hadi di Marang!


Barisan Nasional (BN) akan menggempur kubu kuat Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Marang dengan strategi 'lima lawan satu'  bagi menguasai kerusi parlimennya dan empat kerusi dewan undangan negeri (Dun) di situ.

Ketua Umno Bahagian Marang Datuk Yahya Khatib Mohamad yang juga calon BN untuk kerusi parlimen itu, berkata menerusi strategi berkenaan, fokus utama ialah menyingkirkan sokongan terhadap Abdul Hadi di kerusi Parlimen Marang dan juga Dun Rhu Rendang.

"Kami semua akan bersatu menentang Abdul Hadi. Kami bukan sahaja mahu memastikan kemenangan di kerusi masing-masing tetapi juga berusaha mengetepikan pengaruh Abdul Hadi," katanya kepada Bernama di sini semalam.

Kerusi Parlimen Marang dan Dun Rhu Redang dianggap 'kerusi keramat' Abdul Hadi. Beliau mula bertanding di kerusi parlimen itu pada 1978 namun kalah dan cubaan keduanya pada 1986 juga gagal. Nasib Abdul Hadi berubah pada 1990 dan beliau menguasai kerusi itu sehingga 2004 apabila dikalahkan Datuk Abdul Rahman Bakar sebelum menang semula pada 2008.

Kerusi Dun Rhu Rendang pula dikuasainya sejak pilihan raya umum 1986 sehingga sekarang. Selain Rhu Rendang, tiga lagi DUN di kawasan parlimen itu ialah Bukit Payung, Alur Limbat dan Pengkalan Berangan. Pada pilihan raya umum 2008, BN menang di Dun Pengkalan Berangan menerusi Yahya dan Alor Limbat (Alias Abdullah).

Kali ini BN mengekalkan Alias di Dun Alur Limbat dan meletakkan dua muka baharu iaitu Nik Dir Nik Wan Ku  di Dun Rhu Rendang dan Abdul Latif Awang (Pengkalan Berangan), manakala Dun Bukit Payung akan ditandingi semula calon pada 2008, Zaidi Muda yang kalah dengan perbezaan 115 undi.

Mengulas lanjut, Yahya berkata pemilihan calon BN terbabit adalah berdasarkan kehendak masyarakat setempat yang mahukan pemimpin mesra rakyat, mudah didekati dan dihubungi selain bersungguh-sungguh mahu membawa pembangunan di Marang.

Sementara itu, calon BN di Bukit Payung, Zaidi berkata sokongan rakyat di kawasan Parlimen Marang sukar hendak dibaca dan sentiasa berubah mengikut keadaan.

"Kalau tengok keadaan sekarang, ceramah Pas di Bukit Payung kurang dapat sambutan dan kita yakin jika ini berterusan Bukit Payung kembali ke tangan BN," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment