Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta rakyat pelbagai kaum di Johor memastikan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) kali ini menjadi 'kubur' kepada karier politik veteran DAP Lim Kit Siang.
Beliau juga meminta rakyat Malaysia memastikan karier politik penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ditamatkan menerusi peti undi pada PRU13 kelak.
"Lim Kit Siang mahu datang (bertanding) di sini. Saya minta rakyat negeri Johor, semua kaum bergabung tenaga untuk pastikan negeri Johor menjadi 'kubur' kepada Lim Kit Siang.
"Kita perlu memastikan dia (Lim) kalah di Johor. Johor akan terus menjadi simpanan tetap BN," katanya pada majlis 'Bicara Minda' anjuran Pusat Khidmat Parlimen Pulai yang dihadiri kira-kira 5,000 orang, malam tadi.
Penasihat DAP itu baru-baru ini memutuskan untuk bertanding kerusi Parlimen Gelang Patah, dalam usaha pakatan pembangkang (PR) menembusi kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Johor.
Dr Mahathir berkata Lim mahukan rakyat 'Ubah' dan 'Tukar' kerajaan sedia ada yang dipimpin BN, tetapi sebenarnya pemimpin veteran DAP itu yang perlu berubah.
Katanya Lim telah terlalu lama berada dalam politik bermula dari 1964 ketika menjadi setiausaha politik kepada pengasas DAP, Devan Nair, yang juga bekas presiden Singapura.
"Kita telah bertukar enam perdana menteri sejak kemerdekaan 1957, tetapi dia tidak berubah-ubah. Bagilah peluang pada anak dia atau cucu dia," katanya.
Dr Mahathir berkata Anwar pula perlu ditolak kerana pemimpin PKR itu hanya berminat untuk menjadi perdana menteri dan bersedia berbuat apa sahaja bagi memastikan cita-citanya tercapai.
"Kalau serah pada orang ini (Anwar), dia akan jual negara ini apabila dia jadi perdana menteri," katanya dan menambah tindakannya ketika menjadi menteri kewangan merupakan bukti jelas tentang niat sebenar Anwar.
Ketika negara menghadapi krisis kewangan 1997, Anwar, katanya, hanya mengikut telunjuk Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Michel Camdessus dan Presiden Bank Dunia James Wolfensohn.
"Saya rasa dia (Anwar) hendak ranapkan negara (ketika itu), sebab itulah saya ambil alih dan kita buat sendiri (memulihkan ekonomi negara) dengan menggunakan acuan kita," kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir berpendapat penasihat PKR itu tahu yang beliau akan kalah pada PRU13, oleh itu sedang bersedia untuk melakukan kekacauan dan huru-hara.
Bagi Nik Abdul Aziz pula, Dr Mahathir berkata Mursyidul Am PAS itu juga sudah sepatutnya bersara daripada politik.
Parti PAS dinasihatkan supaya menumpukan perhatian di Kelantan dan tidak perlu bersusah payah cuba untuk menembusi Johor kerana ia tidak mempunyai pengaruh di negeri ini, katanya.
No comments:
Post a Comment